JEJAK DARAH LANGKAT - Bahagian III
LIKU HIDUP HARUN
Harun serba salah. Dia sudah bahagia menetap di Sungai Kembong bersama isterinya Limah, dan tiga orang anak mereka iaitu Mariam, Zainal dan Saodah. Namun, arahan tentera Jepun supaya keluarganya bersama beberapa keluarga yang lain untuk meneroka hutan dan bercucuk tanam di Sungai Buah menyebabkan dia akur.
Harun yang ketika itu baru berusia 31 tahun akhirnya berjalan kaki dari Sungai Kembong ke Sungai Buah sejauh beberapa batu bersama-sama anak-anak dan isterinya. Harun membina sebuah pondok di tanah yang diterokanya sebagai tempat mereka sekeluarga berteduh daripada panas dan hujan. Dinding pondoknya adalah bertam. Pondoknya sempurna berbumbung bertam. Begitu juga dengan lantainya.
Hasil tanaman mereka menjadi. Mereka akhirnya sudah boleh membiasakan diri untuk tinggal dan menjalankan kegiatan bercucuk tanam di Sungai Buah. Begitu juga dengan Arifin, abang si Harun, Ali Hanafiah iaitu abang kepada Limah, Salmah dan Zahid dua beradik dan beberapa lagi orang Bangi yang sama-sama meredah hutan Sungai Buah bagi membuka kawasan untuk bercucuk tanam.
Suatu hari, Harun dan Arifin mengambil upah menebang pokok di satu kawasan hutan yang terletak di antara Bukit Unggul dan Jenderam. Pada pagi Jumaat itu, mereka menebang sebatang pokok. Pokok berakar banir itu ditetak sehinggalah hanya kulit pokok dan sebahagian batang pokok saja yang masih menyokong pokok itu. Bunyi kertak-kertuk dan desir daun pokok bergeser dengan pokok lain semakin kuat. Harun dan Arifin berlari menjauhkan diri. Namun malang tidak berbau. Pokok itu tumbang berbalik awah lalu menghempap batang tubuh Harun.
Arifin terkejut bukan kepalang. Perkiraannya tumbang pokok itu ke tempat lain tetapi berpaling ke arah adiknya. Jeritan Arifin tidak bersambut. Harun meninggal dunia serta merta. Arifin tersentak. Tubuhnya serta merta menggigil menyaksikan peristiwa yang cukup menakutkan. Air matanya bertakung menanti luruh.
Arifin berlari sejauh dua batu untuk menuju ke Sungai Buah. Dia segera menuju ke pondok Limah. Dalam keadaan mengah dan nada suara yang bergetar, Arifin membuka mulut. “ Limah, adik aku dah tiada!” Lemah longlai tubuh Limah mendengar khabar berita itu. Baru pagi tadi dia melihat suaminya meninggalkan pondok menuju ke hutan bersama Arifin.
Namun, Limah gagahi jua. Bersama anak-anaknya dia merentas hutan menuju ke tempat suaminya menemui ajal. Fikiran Limah menerawang ke antah berantah. Adakalanya fikirannya kosong mengenangkan nasibnya nanti tanpa kehadiran suaminya disisi.
Limah akhirnya tiba dikawasan itu. Dia melihat satu kawasan yang agak terang dan terdapat sebatang pokok sebesar pokok kelapa yang sudah tumbang menyembah bumi. Di bawah batang pokok berwarna putih itu adalah mayat suaminya yang ditutup dengan daun-daun bertam.
Suasana cukup menyayat hati. Zainal yang ketika itu berusia tujuh tahun sudah mengerti apa yang berlaku walaupun baginya segala-galanya berlaku dengan begitu pantas sekali. Batang pokok itu diangkat dan dialihkan oleh beberapa peneroka yang sama-sama meneroka di Sungai Buah. Sehelai kain batik dijadikan pengusung dan disokong oleh dua batang kayu. Mayat Harun diletakkan di atas pengusung itu dan kemudian dibawa ke pondok Limah, tempat terakhir Harun berteduh dan bermesra dengan anak-anaknya sebelum dia pergi menemui yang Maha Esa. Darah menitik-nitik dari tempat kejadian sehinggalah ke pondok Limah. Mayat itu kemudiannya dibawa ke pondok Arifin untuk diuruskan. Dan darah tidak pernah berhenti menitik.
Wajah-wajah yang hadir adalah wajah yang sayu. Mereka kehilangan saudara atau teman yang sama-sama datang dari Sungai Kembong dan sama-sama meneroka tanah di Sungai Buah. Baju melayu dijadikan kain kafan untuk menyempurnakan jenazah. Jenazah Harun kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Buah disaksikan ahli keluarga, saudara-mara dan juga sahabat handai. Doa dan talkin dibacakan. Semua yang hadir begitu berdukacita namun tetap mendoakan kesejahteraan arwah ke alam abadi.
AIR MATA LIMAH
Limah menjunjung hasil-hasil tanaman di atas kepalanya. Zainal membuntuti ibunya berjalan pulang ke Sungai Kembong. Zainal menjinjing dua biji buah nanas di kedua-dua belah tangannya. Tiba-tiba dia melihat ibunya menangis. Dia tertanya-tanya mengapa ibunya menangis bagaikan tiada sudahnya. Namun dia akhirnya pasti ibunya menangis mengenangkan untung nasibnya yang hidup sebagai ibu tunggal yang terpaksa bersusah payah membesarkan Zainal bersama kakaknya, Mariam dan adiknya, Saodah.
Limah sebenarnya bukan berasal dari Sungai Kembong. Dia sama seperti orang-orang Linggi yang lain yang berhijrah ke Sungai Kembong untuk memulakan kehidupan baru. Tetapi Limah bukan orang Linggi. Dia berasal dari Kampung Tebing Tinggi di daerah Jambi.
Ketika usianya sekitar 5 tahun, dia dan abangnya, Injam dibawa ibunya berjalan kaki sejauh kira-kira 7 batu. Sakit kakinya berjalan kaki sejauh itu dari kampung Tebing Tinggi ke Muara Bungo hanya Tuhan saja yang tahu. Ibu Limah iaitu Jibah, terpaksa berpindah bagi melupakan kisah hidupnya yang cukup memilukan. Hasil perkongsian hidupnya dengan Mustafa, mereka dikurniakan 11 orang cahaya mata. Namun takdir tuhan, ramai dikalangan anaknya yang menemui ajal pada usia yang cukup muda.
Tekadnya, biarlah Limah dan Injam dibawa berpindah ke tempat yang baru agar mereka boleh melupakan kisah yang lalu dan membuka lembaran yang baru dalam hidup mereka sekeluarga. Jibah kemudian berhijrah ke tanah melayu dan membeli sebidang tanah di kawasan antara Kampung Rinching dan Kampung Sungai Kembong. Kemudian mereka berpindah ke Kampung Sungai Kembong Hilir memandangkan kawasan sebelumnya merupakan kawasan yang terpencil.
Tertulis di makrifat, jodoh Limah adalah dengan Harun, iaitu anak bongsu kepada pasangan Bujang dan Aminah. Mereka mendirikan rumah di atas sebidang tanah milik Bujang di Sungai Kembong. Bahagialah mereka sekeluarga membesarkan anak-anak mereka yang bertiga itu.
Namun, sejak ketiadaan Harun, Limah melakukan segala-galanya. Dialah ibu, dialah bapa. Tetapi secekal mana pun hatinya, dia masih mengalirkan air mata saat terlihat dari jauh lambang bulan sabit dan bintang pada kubah masjid kayu di Sungai Buah. Lantas dia terus terkenangkan Harun yang disemadikan di tanah perkuburan berdekatan masjid.
Beberapa bulan kemudian, Limah pulang ke Sungai Kembong. Cuma sekali-sekala Limah akan kembali ke Sungai Buah bersama-sama anak-anaknya untuk mengutip hasil tanaman dan kemudian menjualnya di Stesen Keretapi Bangi. Zainal masih ingat lagi, askar British cukup suka membeli dan mengunyah tebu yang dijual ibunya di stesen keretapi itu.
Limah tidak pernah berputus asa. Hidupnya mesti diteruskan dan dia percaya rezeki Tuhan ada di mana-mana saja. Asalkan hatinya tetap berjiwa besar melalui liku-liku hidupnya yang penuh cabaran.
No comments:
Post a Comment