Wednesday, July 13, 2011

Cerita tentang keturunanku

JEJAK DARAH LANGKAT - Bahagian I



MUKADIMAH

Mengetahui susur galur keluarga merupakan peluang keemasan yang pastinya direbut oleh semua orang yang mahu mengenali dan mendalami sejarah nenek moyang mereka. Begitu juga dengan penulis yang mendapat peluang mendengar cerita daripada bapa penulis sendiri (yang juga mendapat maklumat dari saudara-mara yang lain) mengenali salasilah keluarga beberapa keturunan yang bermula dari daerah Langkat di Sumatera Utara. Dalam catatan ini, penulis akan menulis dalam bentuk cerita (berdasarkan fakta dan cerita yang didengar dan dicatat) dan akan disampaikan menerusi beberapa bahagian. Cerita ini dianggarkan bermula (berdasarkan perkiraan-perkiraan tertentu) pada tahun-tahun 1850 sehingga 1870. Semoga catatan-catatan ini menjadi rujukan kaum keluarga dan juga warisan yang tidak ternilai harganya untuk generasi masa kini dan akan datang.


KELANA TUKANG ALI
Tukang Ali memegang tiang di bawah rumahnya. Sebelah tangannya lagi mencekak pinggang. Dia mencuri dengar perbualan tetamu-tetamu yang datang bertandang ke rumahnya yang terletak berhampiran Istana Langkat. Hatinya termengkelan kerana dia langsung tidak dipelawa untuk sama-sama membulatkan suara dalam urusan peminangan kakaknya pada hari itu.

Wajahnya mencuka sepadan dengan hatinya yang begitu kesal. Beberapa hari dia termenung mengenangkan nasib dirinya disisihkan.


Tukang Ali tekad. Biarlah dia membawa dirinya berkelana ke tempat lain. Usianya seawal tujuh belas tahun yang mengalir darah muda yang panas dan bergelora dalam tubuhnya menyebabkan dia mengikut kata hati. Rajuk Tukang Ali umpama rajuk yang membawa jauh, retak yang membawa pecah. Dia segera menuju ke pinggir sungai di hujung kampungnya, Kampung Stabat Hinai. Dia mengikat rakit buluh, membawa bersama sebilah parang dan seunjut kain.

Tukang Ali kemudian berjongkok, mengambil tiga ketul batu kecil di pinggir sungai, dan kemudian menggenggam-genggam batu-batu itu seraya berkata.

“Andai timbulnya tidak batu-batu ini ke pemukaan air, sungguh , aku tidak akan kembali ke Langkat, tanah tercinta ini”


Istana Tanjung Pura, Kabupaten Langkat


Batu-batu itu dilempar. Kecil kocakannya, tetapi besar keputusan yang bakal diputuskan. Seketul batu pun tidak timbul. Bulat hati Tukang Ali tersurat dengan tenggelamnya batu-batu itu. Dia lantas membuka tali yang mengikat rakit itu pada tebing dan membiarkan rakitnya dibawa aliran air bagaikan limau hanyut terapung-apung. Pandangannya masih tetap dan lepas ke daratan Langkat, tanah tumpah darahnya.

Bermulalah pelayaran Tukang Ali. Pohon-pohon nyiur meliuk lentuk diterpa angin di kiri kanan sungai seakan-akan melambai-lambai pemergiannya. Rumah-rumah kayu beratap nipah di tepian sungai adalah santapan matanya menyaksikan bumi Langkat yang damai dan permai, sebelum dia pergi takkan kembali lagi ke tanah itu.

Jata atau Lambang lama Kesultanan atau Kerajaan Langkat

Langkat itu bukan sebarangan tempat. Rajanya masyhur, rakyatnya mulia. Santun butir kata-kata penghuninya bersulam budi pekerti laku bersendi agama penyuluh hidup. Ayah Tukang Ali juga bukan yang ada-ada. Ayahnya cukup terkenal di Istana Langkat. Dia juga banyak menghasilkan ukiran di seluruh pojok istana. Andai kelibatnya tiada dalam majlis mesyuarat istana, pendek kata, usul tidak terbentang, buah fikiran tidak terdebat, ajuan tidak terbahas, kaul tidak terhujah. Peranannya amat penting umpama tiang utama penegak teguh bangunan istana. 

Tukang Ali kemudiannya bermudik sehinggalah rakitnya tersadai di Bilah Indera Pura, di Medan, sebuah kampung di pinggir sungai. Tukang Ali cepat berkenal-kenal. Mat Tera adalah pemuda tempatan yang akhirnya menjadi sahabat baiknya. Jodohnya juga dengan gadis Bilah. Hidupnya hanya di Kampung Bilah, sebuah kampung yang berkongsi sungai dengan Kampung Stabat Hinai. Selepas beberapa lama bermukim di Kampung Bilah, rumah tangga Tukang Ali dilengkapi dengan empat orang cahaya mata iaitu Andak, Deraman, Tok Alang dan Tok Teh.

Musim hidup seterusnya, Tukang Ali berkelana lagi. Anak-anak dan isterinya ditinggalkan. Kali ini dia bekerja dalam kapal api sebagai buruh, menuju ke lautan luas dan berlabuh di dermaga-dermaga yang berkongsi Selat Melaka, sehinggalah kapal itu berlabuh di Pengkalan Kempas di Kuala Linggi. 


Pengkalan Kempas menjadi rumah baharunya. Dia bertemu jodoh dan akhirnya Tukang Ali menikahi seorang wanita tempatan. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Bujang, Dara dan Sadin. Mereka kemudiannya berpindah ke Pengkalan Durian, juga sebuah tempat di Linggi.

Istana Tanjung Pura, Langkat

Bujang, Dara dan Sadin membesar di Linggi. Sehinggalah Bujang, anak sulung hasil perkahwinan keduanya meningkat dewasa, dia diarahkan ayahnya menuntut ilmu di Langkat. “Pergilah ke Langkat. Pesantren di pinggir istana ada di sana. Raihlah ilmu agar penuh di dada”, kata Tukang Ali pada anaknya. Bujang akur dengan kehendak ayahnya. Dia kemudian berlayar ke Langkat , yakni Kampung Stabat Hinai yang merupakan tanah asal bapanya. Bujang berguru dengan Sheikh Abdul Wahab Langkat, seorang wali yang besar keramatnya. Kebakaran lombong minyak tanah di Langkat dapat dipadam oleh Sheikh Abdul Wahab hanya dengan segelas air sahaja dengan izin Allah Subhana Wa Taala. Berguru dengan Sheikh Abdul Wahab sememangnya peluang yang tidak akan dilepaskan. Namun tempoh pengajian Bujang di Langkat tidak lama. Hanya lima ke enam bulan sahaja.

Syeikh Abdul Wahab Langkat

Alang-alang di Langkat, Bujang terus menuju ke Bilah Indera Pura. Dia masih ingat lagi pesan ayahnya ketika dia mahu berangkat ke Langkat dahulu. “Bujang, kau singgahlah ke Bilah. Beritahu adik beradikmu empat orang, abah takkan balik-balik ke Langkat. Kalau mahu bersua Abah, datang dan jelanglah ke Kolang”. Berita itu akhirnya sampai ke telinga keempat-empat adik beradik tiri Bujang itu, dari mulut Bujang sendiri. Keempat-empat mereka, Andak, Deraman, Tok Alang dan Tok Teh bersepakat menuju ke Kolang untuk bertemu bapa mereka dan akhirnya kesemuanya menetap di Linggi.

Mat Tera, sahabat baik Tukang Ali menjejak pengembaraan sahabatnya. Dia akhirnya mengambil keputusan untuk menetap di Linggi dan bernikah dengan Saabah, anak gadis Datuk Laksamana Said.

No comments:

Post a Comment