Wednesday, June 6, 2012

SELAMAT PENGANTIN BARU AYOB & AYU :)

Assalamualaikum! 

Apa khabar wehh? Perghh bertahun sudah aku tak update blog ni! Bukan taknak update tapi malas. Aku taip pastu aku sendiri baca, baik aku simpan dalam otak je kan? :D

 Okeh tapi kali ni aku nak update jugak sebab aku nak cerita pasal sorang bestfriend aku ni. Dia baru kahwin 3 June 2012 haritu. So post ni kiranya macam nak mengenang kembalilahkan saat - saat dari mula aku kenal time belum sunat lagi sampai la sekarang ni. 

Istimewa untuk Mohamad Rafidzi Md. Yusoff (Ayob) :)

Aku kawan dengan dengan Ayob lama dah. Since dari kecik kot? kitorang berkawan dari zaman - zaman duduk kat flat sampai la ni duduk jauh - jauh pun still berkawan. kiranya kitorang geng - geng flat la ni. :) 

Memori zaman sekolah rendah aku tak ingat sangat sebab geng - geng flat ni ramai. Aku pun tak rapat sangat dgn Ayob time ni. lagipun sekolah pun lain - lain. Kebanyakan yang duduk flat tuh sekolah kat Sekolah Kebangsaan Jalan 6, aku pulak kat Sekolah Kebangsaan Jalan 2. Sesat sikitlah! Tah macam mana aku boleh tercampak kat sana aku pun tak tahu. 

Seingat aku time kecik - kecik ayob ni agak gomok! Okehlah! bukan agak, tapi MEMANG!! :D tapi dulu dia power wehh main bola. Dulu dalam team flat dialah striker terulung. Terel menggelecek bola macam Cristiano Ronaldo. Agaknyalah! :D 
Tak banyaklah aku ingat pasal Ayob time kecik - kecik sebab time tuh dia takdelah rapat sangat dgn aku. Tapi benda paling kitorang ingat ialah time aku atau dia panggil nama memasing kat rumah. Yelah, dulu mana ada handphone. Tak boleh nak SMS or call. So, kena g rumah memasing. Punyalah malas nak naik atas untuk ketuk pintu. Jadi panggil je dari bawah. "Syidi.. Syidi.." *dulu orang panggil aku SYIDI! :D atau "Ayob.. Ayob..". Rumah Ayob dah la tingkat 4! Tinggi nak mampos. Kalau dok panggil dia kadang - kadang bukan dia yang keluar tapi jiran dia. Penyibuk! :D

Lepas habis sekolah menengah aku pindah dari flat ke Bangi Lama. So, aku terpisah dengan Ayob buat beberapa tahun. Rasanya dalam 2 tahun kot? Then korang tau tak mana aku jumpa dia balik? Kat Cyber Cafe kat 15! What the hell! CC lah tempat kitorang selalu lepak. Jadi maknanya dalam masa berpisah tuh hobi tuh masih tak berubah! Bangang! :D Main game Counter-Strike pulak tuh. Lepas tuh kitorang mula lepak balik. Time tuh aku & Ayob baru habis belajar. Aku kerja sementara kat Oldtown White Coffee rasanya, Ayob pulak kat kedai pe tah kat Fasa 4. 

Tak lama lepas tuh aku berhenti kerja, Ayob pun! Then kitorang mula cari kerja sesama. Merata kitorang cari kerja. Tapi kitorang ada rezeki kerja dekat Alamanda. Mula - mula kerja dekat GSC, Alamanda. Tapi, tahan sehari je weh! Semua sebab Ayob la. Puii.. aku kerja jual tiket so memang relax la. Dia dapat kat F&B. Agaknya sebab tak tahan buat popcorn je dia pun ajak aku berhenti. Tak lama lepas tuh pulak dia bagitau aku Quiksilver Alamanda call dia suh keje kat sana. Die pergi la kerja kat sana. tapi tak lama lepas tuh aku pun dapat jugak. hahaha.. so kerja la kitorang sesama kat sana. buat huhaaaa.. Best! :) Lagi - lagi ada wawa sekali. macam tahi dah perangai memasing. 

Kerja dekat Quiksilver pun tak lama. tak ingatlah berapa lama. dalam 4 bulan kot? Sebab berhenti pun aku lupa. Seingat aku lepas tuh kitorang sesama dapat ujian komputer kat UKM untuk jawatan pembantu tadbir. Kitorang buat la ujian tuh sekali dengan adik Ayob sekali. Tapi yang berjaya Ayob je. Tahun 2009 rasanya dia start kerja dengan UKM. setahun lepas tuh aku pulak masuk kat UKM. So, kitorang kerja tempat yang sama lagi walaupun bahagian yang berlainan. :)

Aku dgn Ayob ni sukakan game. Terutamanya PES! Memang kakilah! Kat warta tuh memang muka kitorang je. Dia hebat woo main bendalah ni! Memang aku rasa saingan aku dia je. Orang lain tak power! :D Oh ya.. dah besar ni pun kitorang still main bola sesama tau. Tapi tukar jadi Futsal lah. Kitorang ada team yang dianggotai oleh BOB, Syafiq, Hanis, Luqman & beberapa orang lagi. Ayob main striker jugak. Scorerlah kiranya. Walaupun tak sehebat dulu tapi dia score banyak. Pelik jugak! haha..

3 June 2012 lepas dia dah bertukar status dari bujang menjadi suami orang. Dia dah kahwin dengan Ayu. Perempuan yang dia kenal time kolej dulu. :) seingat aku dulu Ayob pernah nak kenalkan aku dengan Ayu ni. Nasib baik tak jadi. haha.. :D Aku rasa happy sangat bila tau Ayob nak kahwin. Nape tah. tapi sedih jugak sebab lepas ni mesti dia nak layan bini dia je. Sapa nak main PES dengan aku? :( lepastuh mesti dia lagi susah nak main futsal. walaupun Ayu dah bagi jaminan takkan larang Ayob main futsal sebab taknak Ayob makin gemok! tapi aku rasa nanti Ayob yang malas! hahaha..

3 June 2012 tuh pepagi buta aku dah keluar rumah. Bertemankan Dayat, lelaju kereta aku drive ke Banting semata - mata nak kejar masa untuk tengok Ayob menikah. Alhamdulillah aku sampai ngam-ngam before dia nak akad nikah. Ayob kata dia terharu aku dgn Dayat datang tengok dia nikah. *mestilah aku datang. BFF aku nikah! aku mesti nak tengok! :) dari pagi aku kat banting tuh bawaklah ke petang. dari mula majlis sampai settle! 

Aku doakan semoga kau dengan Ayu berbahagia sehingga ke akhir hayat. Semoga murah rezeki lepas kahwin ni! nanti aku kahwin ko takleh jadi pengapit aku! tak sesuai! orang dah kahwin tak boleh jadi pengapit! :) 

BFF forever dowh! :)

 Saat cincin disarung ke jari si isteri oleh suaminya.

 Penyerahan duit hantaran :)

 Merpati berjoli! ehh sejoli. :)

 Pengantin dan orang tua mereka :)

 'Satu' itu adalah simbolik kepada 'I'm number one' / 'Satu Malaysia'. Bukannya 'Baru 1 isteri ya'.

 Omar, Ayob dan Aku. :)

 Muka Epic si Ayob! Candid ni! haha..

 Pengantin yang hensem! Pengapit pun! :)

 Nampakkan ketenangan Ayob? Aku yang cuak kot? :D

Pinky Kinky! Sweet! :)

 Ayob macam gelojohkan? haha..

 Sama cantik sama padan :)

 Servis camni sekali seumur hidup je okeh! :)

 Aummm.. dapp tak?? :)

 Jangan makan bebanyak nanti gemok! :)
 Aku nak duduk tengah tapi Ayob suruh apit Ayu! :(

 Suwitttt~!! sangat! :D

 Pengantin perempuan - AYU

 Pengantin lelaki - AYOB

Geng-geng Bangi Community yang datang support! hoyeah! 

Tahniah sekali lagi ayob!! Jangan lupa aku!!! :)

Wednesday, July 13, 2011

Jejak darah langkat ini di copy dari blog pakcik gua. :)

JEJAK DARAH LANGKAT - Bahagian Akhir





Menerusi bahagian terakhir ini, akan dirumuskan segala cerita mengenai salasilah ataupun susur galur keluarga ini secara lebih terperinci dan berpandukan fakta-fakta sejarah yang benar. Garis masa peristiwa juga dibuat mengikut perkiraan berdasarkan anggaran-anggaran tertentu.


GARIS MASA PERISTIWA


1842 – Tahun anggaran Tukang Ali dilahirkan di Kampung Stabat Hinai, Langkat, Sumatera Utara.


1859 – Tahun anggaran Tukang Ali keluar merantau pada usia 17 tahun dan terus menetap di Kampung Bilah Indera Pura.


1862 – Tahun anggaran Tukang Ali berkahwin dengan seorang gadis tempatan di Kampung Bilah Indera Pura pada usia 20 tahun.


1869 – Tahun anggaran Tukang Ali mula bekerja dalam kapal api dan berlayar ke pelbagai tempat di sekitar Selat Melaka.


1870 – Tahun anggaran Tukang Ali mula menetap di Linggi dan berkahwin dengan gadis tempatan di Linggi. Ketika ini usianya dijangka 28 tahun.

1872 – Tahun anggaran Bujang, anak sulung perkahwinan kedua Tukang Ali, dilahirkan.


1877 – Tahun anggaran Aminah, anak keempat pasangan Rafeah & Silong, dilahirkan.

1892 – Tahun anggaran Aminah dan Bujang berkahwin. Aminah pada ketika ini berusia 15 tahun manakala Bujang berusia 20 tahun.

1893 – Tahun anggaran Bujang membuka tanah di Kuala Kubu bersama adiknya Sadin. Sadin dianggarkan meninggal dunia pada tahun yang sama pada usia 20 tahun.


1894 – Tahun anggaran anak sulung pasangan Bujang dan Aminah iaitu Wahab dilahirkan.


1902 – Tarikh sebenar Bujang, Aminah dan anak-anaknya berpindah dari Linggi ke Sungai Kembong.


1912 – Tahun sebenar anak kelima atau anak bongsu pasangan Aminah dan Bujang iaitu Harun dilahirkan.


1918 – Tahun sebenar Limah dilahirkan di Tebing Tinggi, Kabupaten Jambi, Sumatera.


1919 – Tahun sebenar Bujang meninggal dunia pada usia 47 tahun.


1923 – Tahun sebenar Limah berhijrah ke Malaya. Ketika ini usianya 5 tahun.


1933 – Tahun sebenar Harun dan Limah berkahwin. Harun pada ketika ini berusia 21 tahun manakala Limah berusia 15 tahun.


1935 – Tahun sebenar anak sulung pasangan Harun dan Limah, Mariam dilahirkan.


1938 – Tahun sebenar anak kedua pasangan Harun dan Limah, Zainal dilahirkan.


1942 – Tahun sebenar anak bongsu pasangan Harun dan Limah, Saodah dilahirkan.

1943 – Tahun sebenar Harun, Limah dan anak-anaknya berpindah dari Sungai Kembong ke Sungai Buah untuk meneroka tanah bercucuk tanam.


1945 – Tahun sebenar Harun meninggal dunia pada usia 33 tahun.


1948 – Tahun sebenar Aminah meninggal dunia pada usia 71 tahun.

TENTANG LANGKAT


Langkat merupakan sebuah daerah yang terletak di Sumatera Utara. Nama Langkat diambil dari nama Kesultanan Langkat yang dulu pernah ada di tempat yang kini merupakan kota kecil bernama Tanjung Pura, sekitar 20 kilometer dari Stabat.


Langkat sebelumnya merupakan bawahan pemerintahan Kesultanan Aceh sehingga awal abad ke-19. Pada saat itu raja-raja Langkat meminta perlindungan Kesultanan Siak. Tahun 1850Aceh mendekati Raja Langkat agar kembali ke bawah pengaruhnya, namun pada 1869 Langkat menandatangani perjanjian dengan Belanda, dan Raja Langkat diakui sebagai sultan pada tahun1877.


Amir Hamzah yang merupakan penyair terkenal merupakan kerabat diraja Langkat manakala Tengku Ampuan Rahimah yakni isteri Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Al-Marhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah merupakan puteri kesultanan Langkat yang diputerikan di Istana Tanjung Pura, Langkat pada pada 4 Ogos 1927. Ayahandanya ialah Sultan Abdul Aziz Rahmat Shah ibni Sultan Abdul Jalil, Sultan Langkat yang bertakhta di Istana Tanjung Pura dari tahun 1894 sehingga 1927. Bonda Tengku Rahimah bernama Tengku Permaisuri Zaharah, anakanda Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor Kelima yang bertakhta dari 1898 hingga 1938.



TERSURAT & TERSIRAT


Tukang Ali dikatakan merajuk kerana disisihkan dalam urusan peminangan kakaknya. Namun tidak dapat dipastikan mengapa Tukang Ali begitu merajuk sehingga meninggalkan keluarganya di Langkat. Adakah kerana dia tidak menyukai tunang kakaknya ataupun dia sendiri betul-betul kecewa kerana merasakan dia layak untuk dipanggil turut serta di dalam urusan peminangan itu. Semuanya tidak dipastikan.


Melemparkan batu ke dalam sungai adalah simbolik kepada tekadnya keputusan yang telah dibuat. Begitu juga dengan sesetengah orang yang pada masa dahulu yang menakuk tangga dan tidak akan kembali selagi takukan di tangga rumahnya tumbuh kembali.


Sepertimana sumpahnya juga, Tukang Ali tidak pernah kembali semula ke Langkat sehingga akhir hayatnya. Dia meninggal dunia dan dikebumikan di Pengkalan Durian, Linggi. Melalui cerita yang disampaikan sejak turun temurun, tidak pernah disebut nama kedua-dua isteri Tukang Ali sama ada isterinya di Bilah Indera Pura ataupun di Linggi.


Sama seperti ayahnya, Tukang Ali juga mahir bertukang. Dia juga cukup cekap membuat ukiran-ukiran kayu yang sungguh mempesonakan. Dia juga dikatakan terlibat secara tidak langsung dalam usaha menjatuhkan J.W.W Birch iaitu Residen British Pertama di Perak (J.W.W Birch dilantik menjadi residen pada tahun 1874 dan mati dibunuh pada tahun 1875). Oleh sebab itu, beberapa askar British menjejak Tukang Ali dan akhirnya berjaya sampai ke rumahnya di Linggi untuk menangkapnya tetapi pada ketika itu Tukang Ali sudah pun meninggal dunia. Askar-askar British itu kemudiannya merampas beberapa ukiran kayu yang diukir oleh Tukang Ali. Dikatakan ukiran-ukiran kayu itu ada dipamerkan di salah sebuah muzium di negara ini. Namun tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran cerita ini.


Ketika Tukang Ali menetap di Bilah Indera Pura, dia menetap dengan ibu angkatnya. Mat Tera yang merupakan sahabatnya mempunyai hubungan persaudaraan dengan ibu angkat Tukang Ali itu. Selepas Mat Tera berpindah ke Linggi kemudian ke Sungai Kembong, Bujang menyusulnya ke Sungai Kembong. Satu-satunya anak perempuan Bujang iaitu Salimah akhirnya berkahwin dengan anak Mat Tera yang bernama Dolmat. Imam Haji Abbas Dolmat yang merupakan waris tertua (kini berusia 89 tahun) yang menjadi sumber sahih tentang susur galur keluarga ini merupakan anak kepada pasangan Salimah dan Dolmat dan cucu kepada Bujang, Aminah, Mat Tera dan Saabah.


Bujang pula pernah berguru dengan Syeikh Abdul Wahab Langkat. Syeikh Abdul Wahab Langkat atau nama sebenarnya Syeikh Abdul Wahab Rokan Al-Kholidi Naqsyabandi merupakan seorang wali Allah yang memiliki keramat. Beliau dilahirkan pada tahun 1811 di Negeri Tinggi, Rokan Tengah, Kabupaten Kampar, di Riau. Wali Allah ini mengajar ilmu agama di sebuah pesantren (sekolah pondok) berhampiran Istana Langkat dan meninggal dunia pada tahun 1926. Sebelum beliau meninggal dunia, beliau ada meninggalkan 40 wasiat yang menjadi panduan hidup kepada anak-anak muridnya

Bujang akhirnya meninggal dunia di Sungai Kembong dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kota di Kampung Sungai Kembong. Dianggarkan beliau meninggal dunia pada tahun 1919 ketika berusia 47 tahun.
Berlainan dengan cerita yang pernah ditulis sebelum ini, terdapat satu versi yang berbeza yang ditampilkan pada 20 Jun 2011 (versi asal pernah dicatatkan pada 3 November 2003 menerusi pengkisahan untuk buku profil Badan Kebajikan Rafeah-Silong). Menurut cerita versi terbaru itu, Tukang Ali pada mulanya berhijrah ke Melaka dan berkahwin dengan seorang gadis tempatan sebelum berpindah ke Linggi. Anak Tukang Ali iaitu Bujang berkahwin dengan Aminah iaitu anak kepada Rafeah dan Silong di Sungai Jernih, Melaka. Mohamad Shah pula dibaham harimau ketika dia dalam perjalanan pulang selepas menemani bapanya meneroka hutan. Namun versi pertama dilihat lebih logik mengikut garis masa peristiwa yang dianggarkan.


Mengikut cerita Imam Haji Abbas Dolmat (yang lebih dikenali dengan nama Pak Ngah Abbas atau Tok Ngah Abbas) lagi, moyang keturunan ini iaitu Rafeah adalah daripada suku anak Melaka Limau Perut manakala suku moyang Silong tidak dapat dijelaskan. Sejak Rafeah dan Silong berpindah ke Linggi, ahli keluarganya semakin bertambah dan beranak pinak dan berpindah ke kawasan-kawasan lain seperti Sendayan, Jimah dan juga Sungai Kembong.


Ibu Limah pula iaitu Jibah Binti Mat Jip merupakan kawan baik kepada Aminah semasa di Sungai Kembong dan usia mereka hampir sebaya. Persahabatan mereka mungkin menyatukan Limah (anak Jibah) dan Harun (anak Aminah) sebagai suami isteri. Bapa Limah iaitu Mustapha merupakan seorang guru silat.


Limah sendiri pernah bercerita kepada anaknya Zainal tentang kisah ibunya, Jibah semasa berusia sekitar 7 tahun. Ketika itu Jibah menetap di Tebing Tinggi, Muara Bungo, Jambi. Suatu ketika, kampung mereka dilanda kegelapan yang luar biasa selama tujuh hari tujuh malam. Jibah yang masih kecil pada masa itu tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku memandangkan pada zaman itu tiada hubungan komunikasi sepertimana hari ini. Mengikut garis masa peristiwa, kejadian paling tepat yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu adalah peristiwa letusan Gunung Krakatau di Selat Sunda di antara pulau Jawa dan Sumatera yang berlaku pada tahun 1883.


Apapun cerita mengenai susur galur keluarga ini merupakan perkara yang sangat penting dan merupakan warisan yang tidak ternilai. Walaupun cerita-cerita ini hanyalah menerusi lisan, namun ianya masih boleh diterima pakai berdasarkan logik masa dan juga keadaan dan suasana pada zaman itu. Semoga catatan ini menjadi suatu catatan yang menjadi rujukan untuk menjejak darah Langkat. Wallahua’lam.

JEJAK DARAH LANGKAT - Bahagian III


LIKU HIDUP HARUN

Harun serba salah. Dia sudah bahagia menetap di Sungai Kembong bersama isterinya Limah, dan tiga orang anak mereka iaitu Mariam, Zainal dan Saodah. Namun, arahan tentera Jepun supaya keluarganya bersama beberapa keluarga yang lain untuk meneroka hutan dan bercucuk tanam di Sungai Buah menyebabkan dia akur.


Harun yang ketika itu baru berusia 31 tahun akhirnya berjalan kaki dari Sungai Kembong ke Sungai Buah sejauh beberapa batu bersama-sama anak-anak dan isterinya. Harun membina sebuah pondok di tanah yang diterokanya sebagai tempat mereka sekeluarga berteduh daripada panas dan hujan. Dinding pondoknya adalah bertam. Pondoknya sempurna berbumbung bertam. Begitu juga dengan lantainya.


Hasil tanaman mereka menjadi. Mereka akhirnya sudah boleh membiasakan diri untuk tinggal dan menjalankan kegiatan bercucuk tanam di Sungai Buah. Begitu juga dengan Arifin, abang si Harun, Ali Hanafiah iaitu abang kepada Limah, Salmah dan Zahid dua beradik dan beberapa lagi orang Bangi yang sama-sama meredah hutan Sungai Buah bagi membuka kawasan untuk bercucuk tanam.

Suatu hari, Harun dan Arifin mengambil upah menebang pokok di satu kawasan hutan yang terletak di antara Bukit Unggul dan Jenderam. Pada pagi Jumaat itu, mereka menebang sebatang pokok. Pokok berakar banir itu ditetak sehinggalah hanya kulit pokok dan sebahagian batang pokok saja yang masih menyokong pokok itu. Bunyi kertak-kertuk dan desir daun pokok bergeser dengan pokok lain semakin kuat. Harun dan Arifin berlari menjauhkan diri. Namun malang tidak berbau. Pokok itu tumbang berbalik awah lalu menghempap batang tubuh Harun.


Arifin terkejut bukan kepalang. Perkiraannya tumbang pokok itu ke tempat lain tetapi berpaling ke arah adiknya. Jeritan Arifin tidak bersambut. Harun meninggal dunia serta merta. Arifin tersentak. Tubuhnya serta merta menggigil menyaksikan peristiwa yang cukup menakutkan. Air matanya bertakung menanti luruh.

Arifin berlari sejauh dua batu untuk menuju ke Sungai Buah. Dia segera menuju ke pondok Limah. Dalam keadaan mengah dan nada suara yang bergetar, Arifin membuka mulut. “ Limah, adik aku dah tiada!” Lemah longlai tubuh Limah mendengar khabar berita itu. Baru pagi tadi dia melihat suaminya meninggalkan pondok menuju ke hutan bersama Arifin.

Namun, Limah gagahi jua. Bersama anak-anaknya dia merentas hutan menuju ke tempat suaminya menemui ajal. Fikiran Limah menerawang ke antah berantah. Adakalanya fikirannya kosong mengenangkan nasibnya nanti tanpa kehadiran suaminya disisi.

Limah akhirnya tiba dikawasan itu. Dia melihat satu kawasan yang agak terang dan terdapat sebatang pokok sebesar pokok kelapa yang sudah tumbang menyembah bumi. Di bawah batang pokok berwarna putih itu adalah mayat suaminya yang ditutup dengan daun-daun bertam.


Suasana cukup menyayat hati. Zainal yang ketika itu berusia tujuh tahun sudah mengerti apa yang berlaku walaupun baginya segala-galanya berlaku dengan begitu pantas sekali. Batang pokok itu diangkat dan dialihkan oleh beberapa peneroka yang sama-sama meneroka di Sungai Buah. Sehelai kain batik dijadikan pengusung dan disokong oleh dua batang kayu. Mayat Harun diletakkan di atas pengusung itu dan kemudian dibawa ke pondok Limah, tempat terakhir Harun berteduh dan bermesra dengan anak-anaknya sebelum dia pergi menemui yang Maha Esa. Darah menitik-nitik dari tempat kejadian sehinggalah ke pondok Limah. Mayat itu kemudiannya dibawa ke pondok Arifin untuk diuruskan. Dan darah tidak pernah berhenti menitik.

Wajah-wajah yang hadir adalah wajah yang sayu. Mereka kehilangan saudara atau teman yang sama-sama datang dari Sungai Kembong dan sama-sama meneroka tanah di Sungai Buah. Baju melayu dijadikan kain kafan untuk menyempurnakan jenazah. Jenazah Harun kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Buah disaksikan ahli keluarga, saudara-mara dan juga sahabat handai. Doa dan talkin dibacakan. Semua yang hadir begitu berdukacita namun tetap mendoakan kesejahteraan arwah ke alam abadi.

AIR MATA LIMAH

Limah menjunjung hasil-hasil tanaman di atas kepalanya. Zainal membuntuti ibunya berjalan pulang ke Sungai Kembong. Zainal menjinjing dua biji buah nanas di kedua-dua belah tangannya. Tiba-tiba dia melihat ibunya menangis. Dia tertanya-tanya mengapa ibunya menangis bagaikan tiada sudahnya. Namun dia akhirnya pasti ibunya menangis mengenangkan untung nasibnya yang hidup sebagai ibu tunggal yang terpaksa bersusah payah membesarkan Zainal bersama kakaknya, Mariam dan adiknya, Saodah.


Limah sebenarnya bukan berasal dari Sungai Kembong. Dia sama seperti orang-orang Linggi yang lain yang berhijrah ke Sungai Kembong untuk memulakan kehidupan baru. Tetapi Limah bukan orang Linggi. Dia berasal dari Kampung Tebing Tinggi di daerah Jambi.

Ketika usianya sekitar 5 tahun, dia dan abangnya, Injam dibawa ibunya berjalan kaki sejauh kira-kira 7 batu. Sakit kakinya berjalan kaki sejauh itu dari kampung Tebing Tinggi ke Muara Bungo hanya Tuhan saja yang tahu. Ibu Limah iaitu Jibah, terpaksa berpindah bagi melupakan kisah hidupnya yang cukup memilukan. Hasil perkongsian hidupnya dengan Mustafa, mereka dikurniakan 11 orang cahaya mata. Namun takdir tuhan, ramai dikalangan anaknya yang menemui ajal pada usia yang cukup muda.

Tekadnya, biarlah Limah dan Injam dibawa berpindah ke tempat yang baru agar mereka boleh melupakan kisah yang lalu dan membuka lembaran yang baru dalam hidup mereka sekeluarga. Jibah kemudian berhijrah ke tanah melayu dan membeli sebidang tanah di kawasan antara Kampung Rinching dan Kampung Sungai Kembong. Kemudian mereka berpindah ke Kampung Sungai Kembong Hilir memandangkan kawasan sebelumnya merupakan kawasan yang terpencil.

Tertulis di makrifat, jodoh Limah adalah dengan Harun, iaitu anak bongsu kepada pasangan Bujang dan Aminah. Mereka mendirikan rumah di atas sebidang tanah milik Bujang di Sungai Kembong. Bahagialah mereka sekeluarga membesarkan anak-anak mereka yang bertiga itu.


Namun, sejak ketiadaan Harun, Limah melakukan segala-galanya. Dialah ibu, dialah bapa. Tetapi secekal mana pun hatinya, dia masih mengalirkan air mata saat terlihat dari jauh lambang bulan sabit dan bintang pada kubah masjid kayu di Sungai Buah. Lantas dia terus terkenangkan Harun yang disemadikan di tanah perkuburan berdekatan masjid.

Beberapa bulan kemudian, Limah pulang ke Sungai Kembong. Cuma sekali-sekala Limah akan kembali ke Sungai Buah bersama-sama anak-anaknya untuk mengutip hasil tanaman dan kemudian menjualnya di Stesen Keretapi Bangi. Zainal masih ingat lagi, askar British cukup suka membeli dan mengunyah tebu yang dijual ibunya di stesen keretapi itu.

Limah tidak pernah berputus asa. Hidupnya mesti diteruskan dan dia percaya rezeki Tuhan ada di mana-mana saja. Asalkan hatinya tetap berjiwa besar melalui liku-liku hidupnya yang penuh cabaran.

JEJAK DARAH LANGKAT - Bahagian II


BERTAUT DI LINGGI

Sejak berpindah dari Pengkalan Kempas ke Pengkalan Durian, Tukang Ali mengambil keputusan untuk terus menetap dan membina rumah di situ. Rumahnya hanya dipisahkan dengan jalan kecil dan bertentangan dengan rumah keluarga Silong dan Rafeah. Silong dan Rafeah suami isteri bukan berasal dari Linggi. Mereka berasal dari Kampung Sungai Jernih Melaka dan Rafeah sendiri merupakan anak jati Ramuan Cina, Melaka.
Segalanya bermula apabila anak sulung mereka iaitu Mohamad Shah dilarikan oleh binatang buas ke dalam hutan semasa mereka membuka kawasan hutan di pinggir bukit Kampung Sungai Jernih. Ketika itu kesemua anak mereka iaitu Mohamad Shah, Hamidah, Anum, Aminah dan Taemah ditinggalkan di dalam sebuah pondok dimana sebenarnya terdapat binatang buas sedang berkeliaran di kawasan itu. Mendengar tangisan anak-anaknya, Silong dan Rafeah segera berlari mendapatkan anak-anak mereka. Jantung mereka berdegup kencang. Namun segalanya sudah terlambat. Mohamad Shah sudah dibawa lari ke dalam hutan dan dibaham binatang buas itu. 

Dengan nasib yang malang dan berhati walang, Silong dan Rafeah menyerah nasib dengan berhijrah ke tempat lain. Hancur luluh hatinya apabila satu-satunya anak lelaki mereka pergi buat selama-lama dan mati tidak berkubur. Baginya peristiwa yang meragut nyawa anaknya perlu dielakkan daripada berulang. Mereka bersampan menyusuri Sungai Jernih sehinggalah mereka tiba di persimpangan Sungai Linggi dan mendarat di kawasan Permatang Pasir bagi memulakan kehidupan baru bersama-sama empat orang anaknya iaitu Hamidah, Anum, Aminah dan Taemah.
Maka bermulah kehidupan keluarga Silong dan Rafeah yang membina rumah di Pengkalan Durian. Silong dan Rafeah berjiran dan bersahabat dengan Tukang Ali. Tahun demi tahun, anak-anak mereka masing-masing menginjak usia, dan jodoh menemukan Aminah, anak gadis Silong dengan Bujang, anak lelaki Tukang Ali. Mereka akhirnya bernikah dan bermulalah tautan keluarga antara keluarga Tukang Ali dengan keluarga Silong dan Rafeah.
BUJANG MERANTAU

Usia dewasa bukan hanya untuk dihabiskan sisanya di tanah darah tumpah. Bertitik tolak dari situlah Bujang dan adiknya Sadin, mengikut jejak ayah mereka, berkelana, merantau dan meneroka tanah-tanah baru untuk membuka mata mereka dan belajar untuk berdiri dengan kaki sendiri.
Mereka mengembara sehinggalah tiba di Kuala Kubu. Bujang dan Sadin meneroka hutan dan mereka berhuma. Tuah ayam nampak di kaki, namun tuah Bujang dan Sadin tampak jelas pada padi-padi hasil tanaman mereka yang tunduk menguning. Berbudi pada tanah, rezeki Tuhan ternyata melimpah ruah buat mereka yang sama-sama bekerjasama membanting tulang mengerah kudrat. Keringat dan kepayahan mereka dibayar dengan hasil tanaman yang sungguh lumayan. 
Suatu hari, Sadin adik kepada Bujang bersuara. “Abang, apa yang abang cakap sudah pun kita jumpa. Adat orang sedarah, sifat orang seperguruan”. Bujang faham maksud adiknya. Adiknya akhirnya meninggalkan Bujang buat selama-lamanya dan jenazahnya disemadikan di tanah Kuala Kubu. Hasil pertanian dituai dan kemudiannya diserahkan Bujang kepada orang-orang kepercayaannya. Dalam keadaan duka, Bujang kembali ke Pengkalan Durian.
Setibanya di Linggi, Bujang disambut oleh isterinya, Aminah. Tahun-tahun seterusnya Bujang terus menetap di Linggi. Mereka suami isteri dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu Wahab, Mahmud, Arifin, Salimah dan Harun. Suatu hari Bujang mengambil keputusan untuk berhijrah ke kawasan lain. Dia mahu mengubah untung nasib hidupnya yang tidak berapa menentu di Linggi.

Akhirnya Bujang menyiapkan kereta lembunya. Dia juga menyuruh isterinya bersiap-siap untuk menempuh satu perjalanan yang jauh ke tempat baru. “Minah, kau bersiap-siaplah. Kita akan ke tempat baharu. Sama-sama kita teroka dan bertani di Sungai Kembong nanti. Mat Tera, sahabat kepada abah sudah sampai pun di sana”.
Kereta lembu milik Bujang mula merentas denai-denai kampung dan mula melewati rumah-rumah di hujung kampung di Linggi. Bujang bersama isteri dan anak-anaknya menuju ke Sungai Kembong, sebuah tempat yang tiada orang bermukim dan merupakan hutan belantara. Perjalanan mereka memakan beberapa hari. Ada ketika, semasa mereka bermalam di pinggir di sebuah bukit, ada pak belang mengaum dan berkeliaran berhampiran kereta lembu mereka. Mujur keluarganya tidak diganggu oleh binatang buas itu dan akhirnya Bujang selamat tiba di Sungai Kembong, tempat untuk dia bermastautin, memulakan hari-hari barunya, bersama Aminah dan lima orang anak mereka.
Di Sungai Kembong, mereka bersawah. Sudah banyak keluarga dari Linggi memulakan kehidupan baru di tempat itu. Mat Tera adalah antara yang pertama. Yang lain-lain termasuklah Tok Rasat, Tok Manaf, Tok Baki, Tok Sendeng dan Tok Maksit yang sama-sama mengembleng tenaga membuka tanah di Sungai Kembong. Ketika mereka baru tiba di sana, jambatan keretapi yang diberi gelaran Jambatan Lubuk Buaya yang merentangi sungai sedang dibina oleh pihak British di kawasan itu.
Hiduplah mereka disana. Sehinggakan Sungai Kembong menjadi sebuah kampung yang permai dan penduduknya saling bantu-membantu diantara satu sama lain.